29/07/2026
RABU
22/7/2026
PROGRAM “JOM KITAR, JOM SIHAT”
Program Kelestarian Sekolah “Jom Kitar, Jom Sihat” telah berjaya dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada murid tentang kepentingan menjaga kebersihan, kesihatan dan amalan kelestarian alam sekitar. Program ini merupakan anjuran Kelab Kitar Semula dengan kerjasama Unit Pencegahan Denggi (HEM), Perpustakaan Sultan Ismail MBJB dan Jabatan Kesihatan MBJB.
Ceramah berkaitan pencegahan denggi telah disampaikan oleh Encik Ikhmal Danish bin Othman, Pembantu Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan MBJB. Beliau memberikan penerangan mengenai bahaya demam denggi, pembiakan nyamuk Aedes serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan di rumah dan di sekolah.
Selain itu, sesi Pengenalan Sudut Lestari serta aktiviti upcycle telah dikendalikan oleh Puan Noorazura Ab. Wahab, Penolong Pustakawan, Perpustakaan Sultan Ismail MBJB bersama Professional Staff Sudut Lestari. Murid-murid didedahkan dengan konsep kelestarian dan berpeluang menghasilkan produk kreatif menggunakan T-shirt terpakai, sekali gus memupuk amalan mengguna semula bahan bagi mengurangkan sisa buangan.
Secara keseluruhannya, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada murid-murid.
Objektif program berjaya dicapai apabila murid memperoleh pengetahuan tentang pencegahan denggi, menghayati kepentingan penjagaan alam sekitar serta meningkatkan kreativiti melalui aktiviti kitar semula dan upcycle.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan warga sekolah yang sihat, bertanggungjawab dan prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.
Perpustakaan Sultan Ismail
SK Pengkalan Rinting