06/10/2026
KUCHING — Ekspo dan Persidangan Borneo Craft Global (BCG) 2.0, bakal membuka peluang luas buat usahawan kraf tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Penganjuran BCG 2.0 yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 29 November depan bakal mentransformasikan Tebingan Kuching menjadi sebuah 'perkampungan kraf'.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, pihak penganjur mensasarkan kehadiran seramai 30,000 pengunjung sepanjang lima hari acara itu berlangsung.
Menurut beliau, acara berkenaan bakal menghimpunkan seramai 200 usahawan kraf, terdiri daripada 140 usahawan tempatan, 30 usahawan dari Semenanjung dan Sabah, serta 30 usahawan luar negara.
Antara tarikan utama sepanjang ekspo itu termasuk demonstrasi kraf secara langsung, masterclass oleh tukang kraf antarabangsa, persembahan kebudayaan, serta hiburan muzik harian.
Penganjuran pelbagai aktiviti interaktif turut memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri keunikan seni kraf rantau ini.
Tambah beliau, BCG 2.0 dijangka menerima kehadiran tiga kerabat diraja yang menyatakan minat untuk hadir.
Antaranya termasuk Ratu Yogyakarta, Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor, serta Tengku Ampuan Pahang.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran BCG 2.0 di Kuching, hari ini.
Dalam pada itu, BCG 2.0 bertindak sebagai platform ekonomi yang penting menerusi sesi padanan perniagaan.
Langkah itu membuka ruang terus bagi usahawan Sarawak untuk menjalin kerjasama strategik dengan pembeli, rakan dagang, serta wakil industri dari lebih 20 negara.