15/05/2026
💧 Kempen “Air Zam Zam Yang Hebat” 💧
Alhamdulillah, hari ini anak-anak mengikuti sesi pembelajaran seerah yang sangat bermakna melalui kisah Keajaiban Air Zam Zam — kisah agung tentang pengorbanan Saidatina Hajar dan Nabi Ismail AS di padang pasir yang tandus suatu ketika dahulu.
Anak-anak belajar bagaimana Saidatina Hajar berlari anak antara Bukit Safa dan Marwah, tidak pernah berputus asa mencari air demi anak tersayang, Nabi Ismail AS. Dengan izin Allah SWT, lahirlah mukjizat Air Zam Zam, sumber kehidupan yang terus mengalir hingga ke hari ini. 🤍
Lebih menarik, anak-anak turut menghasilkan replika telaga mini Air Zam Zam menggunakan batu-batu kecil, sebagai aktiviti hands-on bagi membantu mereka memahami kisah seerah dengan lebih dekat dan menyeronokkan.
🪨💧
Anak-anak perempuan juga begitu teruja melakonkan watak Saidatina Hajar, mendukung “bayi” penuh kasih sayang sambil menghayati pengorbanan seorang ibu yang sanggup berjuang demi anaknya. Momen ini benar-benar menyentuh hati dan memberi penghayatan mendalam kepada si kecil. 🥹🤍
Sebagai penutup aktiviti, anak-anak dihidangkan minuman Air Zam Zam yang dibawa khas dari bumi Madinah. Subhanallah, betapa seronok dan bermaknanya pengalaman ini apabila anak-anak bukan sahaja mendengar kisah nabi, tetapi dapat merasai, melihat dan mengalami sendiri pembelajaran seerah dengan penuh keterujaan. ✨
Semoga aktiviti seperti ini terus menanam rasa cinta kepada Allah, Rasulullah SAW dan kisah para nabi dalam jiwa anak-anak sejak kecil. ❤️