29/07/2026
KAMI MENJANGKAKAN HANYA 7 ORANG. YANG HADIR LEBIH DARI 70.
PART 1
Haro susuyan di amu oompus....
Bukan sekadar sambutan terhadap sebuah program, tetapi bukti bahawa minat kanak-kanak untuk kembali mengenali bahasa, alam dan tradisi tetap ada, hanya menanti untuk diberikan ruang dan peluang.
Program (5) PARALOM TOILAAN LILIHIS : WINORUN menerima penyertaan lebih 70 orang kanak-kanak daripada lima buah sekolah, jauh melebihi sasaran asal kami. Bagi kami di ITISUNDU, angka ini bukan ukuran kejayaan semata-mata, tetapi petunjuk bahawa warisan budaya masih mempunyai ruang yang subur untuk diwariskan apabila proses pembelajarannya dekat dengan kehidupan kanak-kanak.
Perjalanan ini sebenarnya telah bermula beberapa tahun lalu melalui siri (2) MINSINGILO LILIHIS 1.0 hingga 5.0, yang menjadi ruang penting untuk kami memahami bagaimana kanak-kanak belajar bahasa dan tradisi bukan melalui hafalan, tetapi melalui pemerhatian, pengalaman, pendengaran, permainan, nyanyian dan hubungan langsung dengan alam. Proses adala hasil dari proses pengukuhan metod (1) GINONDINGAN yang telah dikembangkan melalui teknik lantunan lilihis, pemahaman melalui penghayatan dan persembahan/pertandingan.
Pengalaman lapangan ini kemudiannya diperkukuhkan melalui (3) BENGKEL MINSINGILO, yang melibatkan kanak-kanak prasekolah berumur 5 hingga 6 tahun dari tiga buah sekolah. Bengkel tersebut membuktikan bahawa pembelajaran bahasa ibunda boleh bermula lebih awal apabila pendekatannya disesuaikan dengan perkembangan kanak-kanak dan konteks budaya mereka. Perkongsian budaya melalui tangon di National Museum of Prehistory, Taiwan pada tahun lepas membolehkan teknik (4) MANANGON sebagai satu cara komunikasi rentas bahasa boleh dijadikan sebagai satu kaedah pengukuhan penghayatan tradisi lokal dan telah menjadi rujukan kepada penghasilan modul program (5).
Kami merakamkan penghargaan setinggin Gayongaran kepada Youth Environment Living Labs (YELL) atas kepercayaan dan sokongan dana yang diberikan. Sokongan ini bukan sahaja menjayakan sebuah program, tetapi turut membuka ruang kepada usaha menghubungkan kelestarian bahasa, kebijaksanaan pengetahuan ekologi, dan pendidikan peribumi melalui Lilihis dalam bentuk yang relevan kepada generasi hari ini.
Bagi kami, kejayaan sebenar bukanlah apabila lebih ramai kanak-kanak hadir ke program.
Kejayaan sebenar ialah apabila mereka pulang membawa satu perkataan baharu dalam bahasa ibunda, mengenali satu tumbuhan yang sebelum ini tidak mereka sedari, dan mula mendengar cerita daripada datuk atau nenek mereka, dan suatu hari nanti kembali sebagai POPOIRA untuk mewariskan ilmu itu kepada generasi selepas ini.
Oleh,
Adrian Soros