09/09/2026
11 DIREMAN KES GUNA DOKUMEN PALSU TUKAR HAK MILIK KENDERAAN
Seramai 11 individu termasuk enam penjawat awam, direman bagi membantu siasatan berhubung sindiket disyaki mengemukakan dokumen palsu untuk urusan pertukaran hak milik kenderaan membabitkan 16 nombor pendaftaran.
Majistret, Norizan Riduan, membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya kesemua suspek termasuk empat wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek yang dibawa ke mahkamah dengan kenderaan SPRM tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi sebelum dibawa keluar pada jam 11 pagi.
Semalam, kesemua suspek yang terdiri daripada empat ejen dan enam pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan kira-kira jam 10 malam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Perak.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berpakat mengemukakan dokumen palsu kepada JPJ bagi tujuan pertukaran hak milik kenderaan membabitkan 16 nombor pendaftaran.
"Kesalahan itu dipercayai berlaku pada 2025, dengan ejen berkenaan disyaki berpakat dengan penjawat awam untuk mengemukakan dokumen palsu.
"Dokumen berkenaan dipercayai digunakan bagi memudahkan urusan pertukaran hak milik kenderaan secara tidak sah," katanya.