22/08/2026
MAJLIS PERUNDINGAN BELIA NEGARA PERINGKAT DAERAH KUALA PILAH 2026
Kuala Pilah, 21 Ogos 2026 – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Kuala Pilah Tahun 2026 telah berjaya dilaksanakan pada jam 3.00 petang bertempat di Melang Inn Hotel, Kuala Pilah dengan menghimpunkan barisan pemimpin belia, wakil agensi kerajaan serta pemegang taruh pembangunan belia daerah.
Majlis ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Puan Hjh. Nawal binti Mohamed Amin, Pegawai Daerah Kuala Pilah. Turut hadir ialah YB Mohamad Qayyum bin Abdul Jalil, ADUN Kawasan Senaling yang juga Presiden Majlis Belia Daerah Kuala Pilah, Puan Junainie binti Mohamad, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Encik Mohd Fairos Rusli, Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, serta Dato' Abd Samad Ibrahim, Presiden Alumni Majlis Belia Malaysia Negeri Sembilan bersama-sama ketua-ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan Daerah Kuala Pilah.
Pelaksanaan Majlis Perundingan Belia Negara ini menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama antara golongan belia, pertubuhan belia dan agensi kerajaan dalam membincangkan isu, keperluan serta hala tuju pembangunan belia di Daerah Kuala Pilah. Majlis ini juga berperanan sebagai ruang perundingan bagi mengangkat suara belia supaya pandangan, cadangan dan aspirasi generasi muda dapat diterjemahkan kepada tindakan serta perancangan pembangunan yang lebih menyeluruh.
Antara tiga usul utama yang telah dibincangkan ialah:
1. Memperkukuh penglibatan Majlis Belia Daerah Kuala Pilah sebagai rakan strategik dalam pembangunan dan kesejahteraan daerah
Usul ini menekankan peranan Majlis Belia Daerah Kuala Pilah sebagai penghubung antara golongan belia dengan agensi kerajaan dalam menyampaikan maklumat, peluang pekerjaan, latihan, bantuan, keusahawanan, pembiayaan serta program pembangunan. Cadangan turut menggariskan keperluan mewujudkan mekanisme kerjasama rasmi dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, selain memperluaskan penglibatan wakil institusi belia dalam platform pembangunan daerah.
2. Memperkukuh penguatkuasaan, pencegahan dan intervensi terhadap penyalahgunaan v**e yang mengandungi bahan terlarang dalam kalangan belia di Daerah Kuala Pilah.
Majlis turut membincangkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan v**e yang disyaki mengandungi bahan terlarang dalam kalangan belia. Usul ini mencadangkan pengukuhan kerjasama antara agensi penguat kuasa, institusi pendidikan, ibu bapa dan komuniti melalui pemantauan yang lebih berkesan, program pendidikan serta kesedaran berterusan, penyediaan saluran aduan yang mesra belia dan usaha pengesanan awal, kaunseling, rawatan serta pemulihan kepada belia yang memerlukan.
3. Memperkasa peluang pekerjaan berkualiti untuk belia di Daerah Kuala Pilah.
Usul ketiga memberi fokus kepada usaha meningkatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan dan kemahiran belia, sekali gus mengurangkan penghijrahan golongan muda ke kawasan lain untuk mendapatkan peluang kerjaya. Antara cadangan yang diketengahkan ialah mewujudkan pusat sehenti padanan pekerjaan belia dengan majikan dan peluang latihan industri, memperkukuh latihan kemahiran bersama pihak industri, membangunkan pangkalan data bakat belia Kuala Pilah serta memperluaskan peluang pekerjaan digital dan jarak jauh selaras dengan aspirasi SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi.
Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Kuala Pilah 2026 telah berlangsung dalam suasana penuh komitmen dan semangat kerjasama, dengan harapan agar segala pandangan serta usul yang dibincangkan dapat menjadi asas kepada tindakan bersepadu demi memastikan pembangunan belia di Daerah Kuala Pilah terus diperkasa secara inklusif dan mampan.
Majlis menutup tirai pada jam 5.00 petang.
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
belia.my