11/05/2026
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐔𝐓𝐔𝐏𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀 𝐒𝐔𝐊𝐀𝐍 𝟐 𝐏𝐈𝐀𝐋𝐀 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐏𝐎𝐋𝐈𝐒 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀 𝟐𝟎𝟐𝟔
Ahad | 10 Mei 2026
Temasya Sukan 2 Piala Ketua Polis Negara Tahun 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang selepas lima hari berlangsung, sekali gus meninggalkan seribu kenangan manis yang akan terus terpahat dalam ingatan seluruh kontinjen dan formasi.
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan bin Mydin Pitchay merangkap Naib Yang Dipertua Majlis Sukan PDRM di Stadium Olahraga, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Dalam temasya kali ini, Kontinjen Kuala Lumpur berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam semua acara yang disertai. Turut mencuri perhatian, Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato’ Ts. Azizee bin Ismail yang menerima Anugerah Veteran Terbaik atas komitmen serta pencapaian memberangsangkan yang dipamerkan dalam acara disertai.
Penyampaian hadiah dan piala kejohanan kepada kontinjen serta atlet olahraga yang berjaya mencipta kemenangan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara sebelum beliau menyampaikan ucapan perasmian penutupan temasya.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan gimik penutupan yang berlangsung penuh simbolik sebagai tanda melabuhkan tirai Temasya Sukan 2 Piala Ketua Polis Negara 2026 selepas lima hari penganjuran yang menyaksikan semangat juang, disiplin dan kesepaduan dipamerkan oleh seluruh kontinjen bertanding.
Turut hadir Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman bin Mohamed; Pengarah Pengurusan, CP Dato' Sri Abdul Aziz bin Abdul Majid merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM; pengarah-pengarah jabatan PDRM; pesuruhjaya-pesuruhjaya polis dan ketua-ketua polis negeri; komander-komander dan komandan-komandan; dif-dif jemputan serta warga PDRM.
📸 Jurugambar
𝗗𝟲 𝗜𝗣𝗞 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴 : Sjn Zarina; Sjn Sjn Satahen & Konst Mohd Ashraf
𝗛𝗘𝗔/𝗛𝗘𝗣𝗣 𝗜𝗣𝗞 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴 : Kpl Amira Hanim & Kpl Mohd Zaidillah