Movie Apa Hari Ini?

Movie Apa Hari Ini? Mengulas tentang filem² tanah air dan antarabangsa.

03/03/2024

Bahagian 2

Okay sambung cerita selepas beberapa hari tertangguh (Maaf semua saya baru balik dari kahwin lari di Thailand. Eh salah, baru balik bercuti).

Okay cerita tentang si mentibang nama Noora ni dengan kaitan filem La Luna. Selepas selesai menjamu nasi beriani, kami pun bersembang santai. Tetapi Noora bisik kepada kami, "Jangan sembang macam tu. Mak aku tak s**a. Jangan cakap topik ini, nanti nenek aku bising. Jangan, jangan, jangan." Eh, menyirapnya! Padahal kami bercerita tentang lelaki yang nak jadi ahli kump**an bukan cerita tentang boyfriend pun!

Dah selesai kali pertama ziarah rumah Noora, kami ingatkan itu dah jadi kali terakhir. Rupanya tak! Ada tugasan yang memerlukan kami bermesyuarat pada waktu malam sebab waktu lain bertindih dengan assignment kursus ahli lain. Kami terpaksa pergi ke rumah Noora sebab dia tidak tinggal di asrama dan ayahnya tidak beri keizinan untuk beliau keluar pada waktu malam.

Sampai je di rumah, Noora menjemput kami masuk manakala dia p**a meminta izin untuk ke kereta bersama ibunya kerana mahu mengambil barang-barang untuk keperluan rumah yang baru dibeli di pasaraya. Kami pun duduk melangut sementara tunggu Noora menyelesaikan urusannya. Nak bersembang dengan neneknya, sepatah perkataan Bahasa Melayu neneknya tidak faham walaupun dah 4 generasi tinggal di Malaysia.

Tiba-tiba muncul Kak Misya iaitu kakak ipar Noora yang berbangsa Melayu. Dia hanya senyum tawar kepada kami. Nampak jelas matanya menahan sejuta rahsia dan kesedihan.

"Nak sembang apa sembanglah. Jangan risau. Nenek tua tu tak faham Bahasa Melayu apatah lagi mengamalkan cara hidup seperti orang Malaysia. Diri sendiri tak nak hormat Perlembagaan Malaysia, tapi berharap siapa sahaja yang masuk ke rumah mereka perlu hormat 'perlembagaan' mereka." Sinis Kak Misya memulakan bicara.

Dari satu topik kami membongkar satu topik! Ya rabbi rasa lapangnya bila dapat sembang apa sahaja isu dengan Kak Misya tanpa sebarang tapisan!

"Dekat sini semua benda kena censorship! Akak ingat lagi macam mana mak mertua akak yang korang tengok baik bertutup litup tu tarik tudung akak di depan semua orang masa hari bahagia akak sebab kononnya tudung akak tak patuh syariah padahal akak dah pakai tutup dada. Apa lagi dia nak?

"Belum lagi bab dia atur semua atur cara majlis perkahwinan akak ikut selera dan minda tertutup dia. Rosak semua! Lepas tu, bila suami akak iaitu anak lelaki dia tegur, dia buat muka tak bersalah dan cakap apa dia buat tu atas dasar agama!" Cerita Kak Misya sambil mengetap bibir menahan amarah.

Kak Misya merupakan bekas pramugari dan anak dari broken family. Sebab itu tiada siapa dari pihak keluarganya mempertahankan beliau semasa hari perkahwinannya.

"Jangan duduk situ. Jangan berdiri situ, ada lelaki! Jangan makan, biar laki makan dulu! Jangan cakap macam tu nanti mamu dengar. Jangan, jangan.. Ha macam tu lah kisah hidup dekat kem militan ni. Semua dari mereka berjalan dalam eggshell dan menyelamatkan punggung masing-masing." Sambung Kak Misya meluahkan segala keperitan hidupnya.

Kami semua hanya mampu menggeleng kepala selepas mendengar cerita Kak Misya. Padanlah semasa saya sengaja tanya pendapat mak Noora sama ada cardigan yang saya nak beli di atas talian cantik ke tak? Mak dia boleh balas, "Kalau boleh labuh lagi, ha labuh lagi!!" Aduh kau nak labuh sampai mana lagi? Cardigan tu memang untuk muslimah dan tutup punggung! Wujud ye manusia macam ini.

"Nanti rumah akak siap, korang datanglah. Akak pun tak sabar nak berambos dari sini! Rumah yang suami akak beli tu pun akak pilih nombor rumahnya 31-08. Saja akak pilih tarikh tu tanda siapa yang akan masuk ke rumah itu akan merdeka! Korang bebas tanya apa pendapat hatta benda yang dianggap taboo oleh masyarakat. Rumah akak akan jadi safe space untuk semua orang," terang Kak Misya sambil tersenyum lebar. Saya dapat lihat sinaran di matanya tidak sabar menunggu untuk dibebaskan dari manusia konservatif.

Send a message to learn more

25/02/2024

Bahagian 1 (POSTING INI PANJANG DAN SESUAI UNTUK MEREKA YANG RAJIN MEMBACA DAN SENTIASA DAHAGAKAN ILMU DARI MENGHUKUM ORANG‼️)

(Misi tersembunyi : Sila perhatikan semua perkataan yang saya tulis dengan huruf besar).

_ _ _ _ _ _

Saja nak tengok review semua tentang filem ini walaupun saya dah tengok filem tersebut semasa awal-awal keberadaannya di Netflix.

Saya dah agak filem yang berani mengangkat tema sebegitu, pasti akan buat golongan 'ostaj ostajah' dan pentaksub panas punggung! Sebab tu saya diamkan diri dari tulis sebarang ulasan mengenainya. Apa nama filem kontroversi itu? Mestilah LA LUNA.

Baiklah,saya akan bercerita tentang pengalaman jujur saya pernah berhadapan dengan penunggang dan pentaksub agama dan kaitkannya dengan filem La Luna. Eh, ada ke orang yang berjubah, duduk kat surau jahat? Penulis mesti pembenci agama! Baguslah Tok Hassan (ketua kampung Bra Basah) hidupkan suasana 'perkampungan islamik'!!!

Untuk menjawab persoalan ini, maka saya persembahkan pengalaman jujur saya dalam Bahagian 1, Bahagian 2 dan Bahagian 3. Ha, nampak tak betapa panjang lebarnya nak cerita pasal puak² pelampau agama dan budaya ni. Dan bagi saya orang yg mati-mati nak backup manusia seperti Tok Hassan, awak mungkin sama perangai mcm beliau atau mungkin awak ni sejenis manusia hidup dalam tempurung, bergaul dengan orang yang mengiktiraf kebebalan awak dan tak kenal macam-macam jenis manusia. Weeekkk!😝

Kisah bermula ketika saya masih menuntut di salah sebuah universiti dan mengikuti program yang melibatkan antara universiti lain. Di sinilah saya bertemu dengan Noora (Bukan nama sebenar) pelajar dari salah sebuah universiti Islamik. Kami menjadi semakin rapat kerana banyak digandingkan bersama dalam group assignment. Pada suatu hari, Noora mengajak saya dan 2 lagi rakan (Amirah dan Aini) untuk menyiapkan assignment di rumahnya kerana ibunya ada menjemput kami semua untuk makan NASI BERIANI.

Kami pun apa lagi, dengar je perkataan beriani terus laju je lah nak pergi rumah beliau yang terletak tak jauh dari kampus. Untuk pengetahuan semua, Noora TIDAK TINGGAL DI ASRAMA kerana ayah beliau tidak mengizinkannya. Beliau selalu ulang-alik dari rumah ke kampus menggunakan kereta Mercedes milik ayahnya atau kereta Honda milik abangnya.

Semasa dalam kereta, Noora MEMBERIKAN SEHELAI SELENDANG KAIN JENIS TEBAL kepada Amirah (bukan nama sebenar) salah seorang ahli group assignment kami. Noora mengatakan jika mahu masuk ke rumahnya, perlu mengenakan hijab kerana ibu bapanya agak tegas dengan isu aurat. Tiada kompromi. Bagi menghormati peraturan tuan rumah, Amirah pun menyarungkan selendang di kepalanya sekadar mampu. Tidak cukup dengan itu, Noora TERUS MENARIK BAHAGIAN DEPAN SELENDANG Amirah untuk menutupi bahagian dada selabuh mungkin.

Setibanya di parking bertingkat kondo beliau, kami pun turun dari kereta dan Noora terus meluru ke arah Amirah untuk MENARIK BAJUNYA SUPAYA MENUTUP BAHAGIAN PUNGGUNG. Kami dah mula tak senang dengan perlakuan Noora terhadap Amirah. Amirah memang tidak berhijab apabila berada di luar kampus tetapi dia sudah cuba patuh dengan peraturan awal yang ditetapkan oleh Noora untuk mengenakan hijab jika mahu makan beriani di rumahnya. Kenapa Noora mahu berlebih-lebih sampai menarik pakaian Amirah yang lain?

Kami masih cuba bersangka baik dengan Noora dengan membayangkan mungkin benar keluarganya adalah religious dan sangat strict dengan peraturan agama. Lagipun kami tetamu, maka bertolak ansurlah dengan peraturan yang ditetapkan.

Setibanya di rumah Noora, kami memberikan salam dan sebaik pintu dibuka, saya dapat rasa vibe seperti berada di kem militan di mana penghuni di dalamnya semua KAKU. Saya dapat rasa KESURAMAN mengisi setiap penjuru rumah. Manusia di situ bagaikan robot termasuklah emak Noora yang menyambut kami dengan matanya yang kuyu dan keletihan. Entahlah Amirah dan Aini rasa benda sama ke tak.

Bersambung...

Entahlah movie apa yang penulis dah tengok tadi.🤣 Rasa macam filem Tamil tapi ehh filem orang putih.Penulis bagi 2/10 bi...
20/02/2024

Entahlah movie apa yang penulis dah tengok tadi.🤣 Rasa macam filem Tamil tapi ehh filem orang putih.

Penulis bagi 2/10 bintang bagi movie Ambulance. Yang best pun sebab movie ni bermain dengan emosi penonton tentang cintakan keluarga.

Filem ini mengisahkan tentang veteran Marin bernama Will Sharp (dilakonkan oleh Yahya Abdul Mateen II) terdesak memerlukan wang untuk pembedahan isterinya.

Beliau akhirnya mengambil jalan gelap dengan bersetuju untuk melakukan rompakan di bank bersama abangnya, Danny (dilakonkan oleh Jake Gyllenhaal).

Pada awalnya filem memang agak seronok iaitu semasa rompakan sedang berlaku. Tapi babak kena kejar polis memang out! Berapa ramai polis mati sebab kemalangan je. Bukan sebab berjaya tangkap perompak.

Siapa yang nak 'mengisi masa lapang' tu, bolehlah tonton movie ini. Mesti korang akan garu kepala sampai akhir babak. Hahaha selamat menonton.

Korang tengah buat apa tu? Jomlah layan filem Dunki di Netflix.Kenapa filem ni? Ha, kan musim cuti Chinese New Year (CNY...
17/02/2024

Korang tengah buat apa tu? Jomlah layan filem Dunki di Netflix.

Kenapa filem ni? Ha, kan musim cuti Chinese New Year (CNY) lepas, heboh satu Malaysia tentang kebanjiran pendatang asing terutamanya dari Bangladesh memenuhi Kuala Lumpur. Satu KL bangsa dorang pegang wei!

Penulis tidaklah terlalu keras mengutuk kedatangan mereka yang rata-ratanya nak bekerja di negara ini, tetapi sampai ramai sangat itu yang tak seronok. Ini semua barah kepada negara.

Ini kisah benar ya, penulis pernah sakit kepala sampai muntah (dan sakitnya masih teringat sampai sekarang kalau kisah ini diungkit semula). Sebab apa? SEBAB BAU KETIAK BEBERAPA PEKERJA BANGLADESHI di dalam KTM yang padat. Pergh, hilang selera nak hidup. Dahlah masa tu, penulis plan nak makan malam dengan kawan-kawan. Terus terbatal niat dan sadai dalam bilik semalaman, telan panadol dan tampal Kool fever. Hahaha.

Tapi bila kita selami kisah pekerja asing yang datang ke Malaysia ni, memang kesian. Jerih payah untuk dorang ubah nasib keluarga di negara asal, memang patut diberikan pujian (kecuali ketiak dorang). Begitulah yang dipaparkan dalam filem Dunki yang merujuk pada perkataan "Donkey Flight" iaitu cara haram untuk masuk ke sesebuah negara lain demi mengubah nasib keluarga.

Tarikan utama dalam filem ini adalah Shah Rukh Khan. Memang hebat lakonan beliau sebagai Hardy, bekas tentera India. Beliaulah yang banyak ketuai rakan-rakannya semasa mereka ceroboh semua sempadan negara. Korang patut tengok kepayahan dan realiti sebenar bagaimana susahnya mereka yang masuk secara haram ke sesebuah negara seperti pelarian Rohingya. Dari kena duduk bersesak dalam bot, kena tembak di sempadan dan macam-macam lagi.

Apa yang menarik, filem ini juga memaparkan tentang budaya penduduk India terutamanya di kawasan kampung yang tidak boleh menerima jika perempuan memakai seluar untuk pergi bekerja. Sampaikan Buggu (dilakonkan oleh Vikram Kochhar) bertekad mahu pergi ke London untuk cari pekerjaan di sana supaya emaknya boleh berhenti kerja dan pakai sari di rumah. Aduh, sampai mcm tu sekali!

Lepas tu apa jadi? Berapa orang terkorban semasa pengembaraan Dunki yang berliku? Ha, tengoklah sendiri kalau nak belajar erti bersyukur dengan kemakmuran yang ada di Malaysia. Hehe. Overall, penulis bagi 9/10 untuk movie ini.

Jalan cerita yang lancar (berkenaan garis masa), plot twist yang boleh buatkan korang menarik nafas lega dan unsur komedi yang buatkan cerita ini lebih 'berwarna.' Filem ini sesuai untuk semua peringkat umur dan mesej di akhir filem perlu diajarkan kepada anak-anak kecil. Memang menyentuh hati.

Seperti yang dijanjikan, Hichki merupakan filem Hindi yang wajib anda tonton bersama seisi keluarga.Mengisahkan tentang ...
12/02/2024

Seperti yang dijanjikan, Hichki merupakan filem Hindi yang wajib anda tonton bersama seisi keluarga.

Mengisahkan tentang Naina Mathur (dilakonkan oleh Rani Mukerji) yang tidak berputus asa mengejar impiannya sebagai seorang guru. Kenapa ditolak berkali-kali dari menjadi guru? Kerana beliau menghidap Sindrom Tourette. Bunyi seperti tersedu yang terhasil disebabkan sindrom ini menyebabkan beliau sering dikatakan menganggu orang sekeliling.

Beliau akhirnya diterima sebagai tenaga pengajar di Sekolah St Notker. Di sinilah cabaran bermula apabila beliau menyedari pihak sekolah sebenarnya terdesak untuk dapatkan guru untuk kelas 9F.

Pelajar di kelas ini datangnya dari kawasan setinggan dan merupakan kelompok marginal. Mereka ini disisihkan masyarakat dan pihak sekolah kerana kemiskinan. Disebabkan layanan tidak adil yang selalu diterima, pelajar² 9F bertindak menjadi nakal dan selalu menimbulkan kekecohan sehingga guru kelas silih berganti.

Jadi, bagaimanakah seorang guru perempuan yang menghidap sindrom unik ini mahu mengawal anak muridnya? Bagaimanakah seorang guru mahu mendekati dan berkawan dengan pelajar yang ada trust issue dengan semua orang? Apakah pendekatan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh diguna pakai untuk pelajar-pelajar dari latar belakang sebegini?

Babak di mana Naina Mathur berhadapan dengan orang yg memperlekehkan kebolehannya wajar korang tonton! Cara dia menjawab setiap tohmahan memang wow! Korang boleh belajar dan aplikasikan dalam kehidupan seharian untuk orang yg s**a body shaming, face shaming dan kutuk² korang.

Filem ini juga wajib ada dalam wish list korang kalau nak tahu lebih lanjut tentang Sindrom Tourette. Memang banyak pengajaran boleh kita belajar dari filem ini. Jangan lupa tonton di Prime Video.

Anda sudah terpengaruh dengan dakyah sesetengah pempengaruh tentang sekolah itu buang masa? Anda rasa pergi sekolah itu ...
03/02/2024

Anda sudah terpengaruh dengan dakyah sesetengah pempengaruh tentang sekolah itu buang masa? Anda rasa pergi sekolah itu merugikan dan tidak boleh jadi kaya? Anda rasa buat konten tidak berfaedah kemudian raih pengikut melalui kontroversi itu lebih bagus dari menjadi manusia berilmu? Jadi, filem yang ringan dan berbentuk komedi tetapi sarat dengan pengajaran tentang kepentingan menghabiskan sekolah ini sesuai untuk anda! Nama filem ini adalah Night School dan boleh ditonton di aplikasi Prime Video.

Anda rasa hebat dan bangga dengan duit serta kedudukan yang diperoleh walaupun anda tidak memiliki kualiti dari segi akademik. Tetapi cuba bayangkan anda jatuh bankrap sekelip mata atau satu-satunya tempat kerja yang mengangkat bakat anda terbakar seperti kedai gril barbeku Teddy (dilakonkan oleh Kevin Hart). Ke mana anda hendak pergi tanpa sebarang sijil akademik?

Kejadian tempat kerjanya terbakar yang berpunca dari kecuaian diri sendiri menjadi ‘wake up call’ kepada Teddy untuk mengambil peperiksaan GED. GED atau Ujian Pembangunan Pendidikan Am ialah sekump**an empat ujian mata pelajaran akademik di Amerika Syarikat dan Kanada yang memperakui pengetahuan akademik yang setara dengan diploma sekolah tinggi (Sumber : Wikipedia). Nak lebih mudah faham, kita guna contoh negara Malaysia. GED ini adalah sijil akademik peluang kedua kepada mereka yang tidak ada SPM. Tapi GED tidak wujud di negara ini tau. Ini semua contoh sahaja.

Teddy mengalami kes**aran untuk mendapatkan pekerjaan kerana beliau merupakan individu yang keciciran pelajaran. Dugaan tidak berhenti di situ kerana sekolah yang beliau nak daftar untuk kelas persediaan GED rupa-rupanya pengetua adalah pembulinya semasa zaman sekolah. Aduh? Adakah beliau akan meluluskan kemas**an Teddy atau biarkan Teddy hidup menganggur?

Filem ini juga mendedahkan kepada ibu bapa khususnya untuk tidak cepat menghukum anak-anak yang malas pergi sekolah. Rupa-rupanya Teddy menghidap ADHD yang menyukarkan beliau untuk tumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas. Teddy bukan tak nak pergi sekolah sebab termakan hasutan pempengaruh yang baru nak kenal dunia. Korang patut tengok babak semasa cikgunya memberitahu tentang masalah sebenar yang Teddy hadapi. Memang lawak babak ini.

Penulis s**a betul watak guru kelas malam Teddy iaitu Cikgu Carrie yang dilakonkan oleh Tiffany Haddish. Beruntungnya kita kalau dapat jumpa cikgu yang tegas tetapi sempoi macam beliau. Korang patut tengok babak beliau pukul Teddy guna tali pinggang sebab Teddy tidak mahu ambil peperiksaan. Memang lawak!

Jadi, adakah Teddy akan lulus peperiksaan walaupun menghidap ADHD? Bagaimanakah kita dapat membantu orang seperti Teddy untuk tidak putus asa dalam mengulangkaji pelajaran? Apa maksud sebenar sekolah selain perlu baca buku dan jawab peperiksaan? Bagi menjawab semua pertanyaan ini, korang yang berumur 18 tahun ke atas wajib tonton filem ini!

Yang ada anak kecil atau remaja bawah umur, sila layan filem Hindi berjudul Hichki. Nanti, penulis tulis ulasan tentang filem hebat ini p**a. Selamat berehat semua!

Siapa yang tengah marah sebab cuti dah habis dan esok kena masuk kerja? Filem ini sangat sesuai untuk ditonton kepada si...
28/01/2024

Siapa yang tengah marah sebab cuti dah habis dan esok kena masuk kerja? Filem ini sangat sesuai untuk ditonton kepada siapa yang s**a marah-marah (Gurau sahaja).

Hidup ini memang keras bro/sis! Tapi jangan jadikan marah atau ego sebagai peneman hidup sampai makan diri. Macam filem Parking yang ditulis dan diarah oleh Ramkumar Balakrishnan. Filem ini wajib ditonton terutamanya kepada sesiapa yang memiliki masalah panas baran atau ego melampau.

Segalanya bermula apabila pasangan Eshwar dan Aathika berpindah ke sebuah rumah seperti Townhouse. Pasangan ini mendiami tingkat atas manakala jiran mereka, Tuan llamparuthi, Puan Selvi dan anak perempuan, Aparna menyewa di tingkat bawah.

Konflik bermula apabila Eshwar membeli kereta dan hendak parking di hadapan rumah. Manakala jiran mereka p**a memiliki motor. Korang bayangkan bahagian depan rumah teres yang selalunya korang parking kereta dan motor keluarga bersama. Tiba-tiba disebabkan konsep rumah yg mcm tu (tingkat atas dan bawah rumah lain penyewa) korang kena kongsi parking dengan jiran. Ha, cuba korang bayangkan mcm mana nak selesaikan masalah ini?

Kalau dapat penyewa yang sama umur dan mampu bertolak ansur, masalah mungkin dapat temui jalan penyelesaian dengan cepat. Tapi macam mana kalau dapat jiran yg berusia seperti Encik Ilamparuthi yang panas baran dan kuat senioriti?

Aathika p**a sedang sarat mengandung. Suami sibuk berkonflik dengan jiran tentang parking sampai rumah tangga jadi haru-biru. Eshwar dan Encik Ilamparuthi memang bagai buku bertemu ruas. Korang boleh bayang tak betapa tegangnya konflik antara mereka berdua?

Aduh, memang berat betul ujian mereka semua sampai ada yang sanggup buat laporan palsu kepada polis tentang gangguan seksual semata-mata nak balas dendam dengan jiran mereka dan dapatkan parking.

Jadi, bagaimanakah jalan penyelesaiannya? Adakah mereka juga sanggup membunuh demi sepetak parking kereta? Adakah mereka semua akhirnya akan berbaik? Tak sabar nak tahu? Apa lagi, jangan lupa saksikan filem ini di Disney Hotstar! Segeralah bermuhasabah diri dan ambil iktibar tentang kesan buruk amarah yang tidak dikawal dengan baik.

Gokil amat!Ha, kepada kamu semua yang tak tahu nak tonton filem apa hari minggu ini, bolehlah tonton My Stupid Boss. Mes...
20/01/2024

Gokil amat!

Ha, kepada kamu semua yang tak tahu nak tonton filem apa hari minggu ini, bolehlah tonton My Stupid Boss. Mesti sakit perut gelak!

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat dari 2 buah negara adik-beradik iaitu Malaysia dan Indonesia. Filem ini mengisahkan tentang Diana yang dilakonkan oleh artis cantik dari Indonesia, Bunga Citra Lestari atau lebih dikenali sebagai BCL yang bosan tinggal di rumah dan bertekad mahu keluar bekerja. Diana menerima tawaran bekerja sebagai kerani di syarikat milik kawan baik suaminya.

Di sinilah cabaran bermula apabila beliau harus sentiasa bersabar dengan karenah Bossman yang dilakonkan oleh Reza Rahadian. Reza Rahadian memang layak diberi pujian kerana lakonannya sebagai seorang majikan yang aneh, kedekut dan menjengkelkan betul-betul menjadi! Kamu semua patut tengok perubahan penampilan aktor kacak dalam filem ini.

Ha, lagi satu nak tengok tak wajah polos Atikah Suhaime semasa masih muda? Memang betul-betul menggamit memori apabila beliau digandingkan sebagai rakan sekerja dengan Bront Palare. Rasa macam kita muda remaja p**a semasa tonton filem ini. Maklumlah filem ini ditayangkan pada tahun 2016 tapi lawak dan mesej dalam filem ini masih relevan dan segar sehingga sekarang.

Antara pengajaran yang penulis s**a dari filem ini adalah sikap Diana yang pandai beradaptasi dengan suasana sekeliling. Sebagai contoh, Diana akan berusaha untuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan bukannya Bahasa Indonesia dengan penduduk tempatan walaupun bunyinya agak pelik. Inilah yang disebut peribahasa; ‘Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.’ Tahniah Diana!

Filem ini sangat sesuai ditonton seisi keluarga dan bagi mereka yang selalu Monday Blues. Anda fikir suasana tempat kerja anda dah cukup toksik? Ha, saksikan filem ini untuk kembali bersyukur sebelum kumpul momentum untuk cari kerja di tempat baru. Nasib baik kita warganegara dan bekerja di negara sendiri tau. Cuba bayangkan nasib pekerja asing tidak kira dalam sektor kolar putih atau biru yang berhijrah dan bekerja di negara orang? Adakah mereka mempunyai pilihan untuk berhenti kerja terus jika dapat majikan seperti Bossman?

Teruk sangat ke perangai Bossman ini jika nak dibandingkan dengan boss-boss anda semua? Nak tahu jawapannya? Jangan lupa tonton filem ini di aplikasi Netflix!

“Ingat mati, ingat sakit, ingatlah saat kau sulit,”Aduh, tiba-tiba kangen dengan negeri seberang. Apa lagi, marilah kita...
09/01/2024

“Ingat mati, ingat sakit, ingatlah saat kau sulit,”

Aduh, tiba-tiba kangen dengan negeri seberang. Apa lagi, marilah kita tonton filem dari Indonesia. Kali ini penulis nak buat ulasan tentang filem genre seram dan komedi iaitu Hello Ghost. Filem ini gokil bangat tapi agak sedih ya. Ada beberapa babak yang berjaya buat penulis menangis. Dalam s**a ada duka. Gitu!

Baiklah, filem ini berkisar tentang kehidupan seorang pemuda yatim piatu bernama Kresna yang cuba bunuh diri beberapa kali tetapi selalu gagal. Kresna mahu menamatkan riwayat hidupnya kerana kesunyian melampau. Korang bayangkan betapa bosannya hidup orang yang tiada keluarga dan kawan sejak dari kecil. Filem ini memang buat penulis menginsafi dan bersyukur dengan kehidupan sedia ada.

Selepas percubaan bunuh diri yang kesekian kalinya gagal, Kresna mengalami pengalaman pelik dalam hidupnya. Kresna boleh nampak beberapa identiti seakan-akan manusia tetapi malangnya orang sekeliling beliau tidak nampak perkara sama. Adakah semua makhluk itu hantu? Apakah tujuan sebenar mereka mengganggu hidup Kresna?

Peristiwa Kresna berjaya diselamatkan dari bunuh diri itu juga membawa beliau pada pertemuan dengan jururawat bernama Linda. Linda p**a memiliki kisah kehidupan yang berlawanan dengan Kresna. Bagaimanakah perbezaan hidup jururawat cantik ini? Bolehkah mereka menemui titik persamaan dan akhirnya menjalin hubungan yang serius?

Ha, kena tontonlah filem ini kalau mahu tahu lebih lanjut. Bagi penulis, permulaaan jalan cerita ini agak perlahan dan membosankan. Tetapi semakin lama kita tonton, semakin terhibur p**a. Selepas itu, pasti emosi sayu akan menyelubungi diri. Apa yang penting, plot twist filem ini memang tidak dijangka! Jangan lupa tonton di Netflix dan filem ini juga sesuai untuk tontonan umum.

Siapa rindu Lady Superstar Kollywood, Nayanthara? Selain memiliki raut wajah jelita, beliau juga terkenal dengan lakonan...
06/01/2024

Siapa rindu Lady Superstar Kollywood, Nayanthara? Selain memiliki raut wajah jelita, beliau juga terkenal dengan lakonan yang mantap. Jadi, jangan lupa untuk saksikan filem beliau berjudul Annapoorani.

Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis iaitu Annapoorani yang dilahirkan dengan kelebihan memiliki deria rasa istimewa. Dengan menggunakan deria rasa sahaja, beliau boleh meneka dengan tepat pelbagai jenis makanan dan apa kekurangan pada rasa makanan itu. Hebat bukan?

Cabaran timbul apabila beliau mahu menjadi chef terkemuka tetapi ahli keluarganya merupakan penganut agama yang kuat dan vegetarian. Mampukah beliau mengatasi rintangan ini dan mengejar impiannya?

Bagi penulis, biarpun filem ini dikritik hebat oleh peminat filem Tamil tetapi budaya yang ditonjolkan dan mesej yang cuba disampaikan patut diberikan pujian. Antara budaya yang dikongsikan adalah mengenai masih wujud pantang larang untuk wanita yang datang haid untuk tidak masuk rumah.

Dan tahukah anda, walaupun dunia sudah moden masih wujud mentaliti ibu bapa seperti dari India untuk segera kahwinkan anak perempuan mereka selepas tamat kolej. Adakah anak perempuan mereka tidak mempunyai impian lain selain dari kahwin, beranak dan berkhidmat untuk suami?

Mesej yang penulis s**a adalah filem ini banyak mengangkat tentang pemerkasaan wanita. Babak yang paling penulis tidak sangka adalah nenek Annapoorani membantu beliau untuk lari dari majlis perkahwinannya. Ya, bagi penulis perkara seperti ini wanita harus berani lakukan. Tidak salah untuk batalkan perkahwinan jika wanita tersebut merasakan tidak mahu meneruskannya walaupun lagi seminit majlis hendak berlangsung. Wanita harus memiliki pilihan dan boleh melakukan pilihan itu.

Tetapi, sentimen agama yang kuat dimainkan dalam filem ini sangat tidak wajar. Ada babak tiba-tiba Annapoorani melakukan ritual sembahyang seperti seorang Muslim sebelum memulakan pertandingan memasak. Bagi penulis, perkara-perkara tidak relevan sebegini perlulah dielakkan oleh mana-mana pengarah. Nama besar seperti Nayanthara tidak perlukan sampingan atau gimik untuk menaikkan emosi penonton. Bakat lakonan beliau sahaja sudah cukup untuk menarik ramai penonton. Tidak perlulah tambah perencah yang boleh buat penonton marah lebih-lebih lagi melibatkan agama.

Jadi, jika anda wanita yang perlukan motivasi atau s**akan filem yang mengangkat mesej tentang pemerkasaan wanita, filem ini perlu anda tonton! Animasi komputer yang diselitkan di beberapa babak menambahkan lagi ‘warna’ untuk filem ini. Jangan lupa tonton di Netflix!

Semalam penulis baru sahaja selesai menonton filem kontroversi yang hanya ditayangkan di Youtube iaitu Pendatang. Memang...
02/01/2024

Semalam penulis baru sahaja selesai menonton filem kontroversi yang hanya ditayangkan di Youtube iaitu Pendatang. Memang seronok jalan ceritanya terutamanya jika ditonton dalam fasa melangkah ke tahun baru. Tahun baru bermakna azam baru. Azam mahu menjadi anak bangsa yang lebih patriotik, sentiasa bersyukur dengan nikmat merdeka yang kita kecapi dan melihat dunia dengan kanta yang lebih luas.

Pendatang adalah sebuah filem bergenre distopia wajib ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Distopia berasal dari perkataan Yunani yang menggambarkan sebuah komuniti atau masyarakat yang tidak dimahukan atau terkesan menakutkan. Istilah distopia merupakan kata lawan dari Utopia.

Jadi, filem bergenre ini adalah sebuah karya filem yang menggambarkan tentang kehidupan di masa depan. Kehidupan yang diimaginasikan adalah kehidupan sosial manusia yang kian memburuk. Contoh filem yang mengangkat genre ini adalah seperti V for Vendeta, Divergent dan Hunger Games. Ha, belajar benda baru tak? Cepat berterima kasih kepada pengarah filem ini iaitu Ng Ken Kin.

Kisah bermula apabila Encik Wong dan keluarga diarahkan untuk berpindah di suatu kawasan yang melarang mereka untuk bercampur dengan bangsa lain. Ini disebabkan oleh satu enakmen yang telah digubal selepas berlakunya rusuhan kaum. Dilema keluarga ini bermula apabila mereka terjumpa kanak-kanak berbangsa Melayu di dalam rumah tersebut.

Persoalannya, jika mereka terus menyorokkan kanak-kanak itu, mereka akan dihukum penjara selama 25 tahun. Tetapi nilai kemanusian yang ada di dalam diri sebahagian dari ahli keluarga Encik Wong mendesak hati mereka untuk menyeludup keluar kanak-kanak itu dan diberikan ke kawasan Melayu. Mana satu keputusan yang akan diambil oleh mereka? Benarkah semua rakyat Malaysia akan pentingkan diri apabila melibatkan isu perkauman?

Jalan cerita filem ini agak perlahan kerana mengajak penonton untuk berfikir dan ‘masuk’ ke dalam imaginasi filem ini. Penonton pastinya akan tertanya-tanya sepanjang jalan cerita ini, apa yang sudah jadi? Filem ini juga memiliki banyak maksud tersirat tentang perpaduan dan apa yang dirasakan oleh bangsa minoriti sepanjang berada di Malaysia.

Dari segi kecacatan jalan cerita, memang ada sedikit babak yang rasa kelakar dan tidak masuk akal. Tetapi boleh dimaafkan kerana filem ini bukanlah filem bajet besar. Contohnya, babak di mana keluarga Wong boleh meneruskan hidup seperti biasa selepas melihat adegan pihak berkuasa tembak orang sampai mati di hadapan mereka.

Walau bagiamanapun, secara keseluruhannya, penulis sangat menyarankan agar filem seperti ini diperbanyakkan di Malaysia supaya kita tidak terus menyimpan di bawah tikar masalah rasisme, rasa ketidakadilan dan benci antara satu sama lain yang sebenarnya wujud di Malaysia. Sebaliknya, dipersembahkan dengan cara bijak seperti melalui filem ini supaya semua rakyat tidak dalam mood ‘denial’ dengan permasalahan sosial yang berlaku.

Tahniah diucapkan kepada Kuman Pictures dan Tapir Films di atas penghasilan filem ini. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada semua barisan pelakon, krew filem dan mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam proses pembikinan filem berani mati seperti ini! Tahniah! Apa tunggu lagi rakyat Malaysia? Buka mata, besarkan hati dan lapangkan minda anda. Taip PENDATANG MOVIE di carian youtube anda sekarang!

Akhir kata, Selamat Tahun Baru semua!

Sebelum tahun 2023 menutup tirai, ada dua filem Leo yang wajib anda tonton! Kali ini, penulis mahu menceritakan tentang ...
29/12/2023

Sebelum tahun 2023 menutup tirai, ada dua filem Leo yang wajib anda tonton! Kali ini, penulis mahu menceritakan tentang kartun Leo.

Apa perasaan anda kalau memiliki kawan yang boleh menjadi pendengar setia dan dalam pada masa sama dia boleh menjadikan diri anda lebih baik? Mesti seronok kan!

Leo merupakan sebuah filem kartun muzikal komedi yang jalan ceritanya sesuai untuk tontonan semua orang. Filem ini memaparkan tentang seekor Iguana bernama Leo membantu pelajar sekolah rendah menangani pelbagai konflik yang mereka hadapi dalam kehidupan seharian. Antaranya adalah perceraian ibu bapa, masalah komunikasi dengan rakan sebaya, masalah dalaman keluarga, buli dan pelbagai lagi.

Penulis percaya, apabila kanak-kanak menonton filem ini, mereka akan dapat mengutip pelbagai pengajaran berharga yang seterusnya boleh diimplementasikan dalam kehidupan seharian. Antaranya adalah betapa pentingnya menguasai kemahiran mendengar ketika sedang berbual.

Satu lagi pengajaran menarik dari filem ini adalah menjauhi sikap dengki dengan kawan-kawan. Sikap cemburu yang tidak dikawal boleh merosakkan hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin.

Tapi, apa yang penulis rasa ralat adalah babak di mana Leo mengatakan bahawa menangis tidak bagus. Hingus yang meleleh nampak hodoh. Nasib baik budak yang Leo sampaikan ajaran sesat itu bijak dan membetulkan kenyataan Leo. Ha, kamu semua carilah di mana babak itu. Hehe.

Okay, jangan lupa tambah dalam wish list. Nak tengok di mana? Aplikasi Netflix la. Pasti anda semua tidak menyesal! Cuti panjang ni pergilah tengok dengan anak buah, anak kandung dan anak kucing.

Address

Kuala Lumpur
53300

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Movie Apa Hari Ini? posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share

Category