25/01/2026
DULU KAMPUNG NELAYAN, KINI KEMASIN JADI TARIKAN BARU.
Kelantan sememangnya kaya dengan lokasi pelancongan menarik. Jika di bahagian selatan dan barat negeri ini terkenal dengan gunung-ganang serta kehijauan alam semula jadi, kawasan timur dan utaranya p**a menawarkan keindahan pantai-pantai yang mendamaikan.
Di daerah Bachok, Pantai Impian sebelum ini mungkin hanya dikenali oleh penduduk setempat. Namun apabila menyebut nama Kemasin, ramai yang mula menyedari kewujudan sebuah muara yang memisahkan Kemasin dan Kemayang. Kawasan Kemasin itu sendiri masih mengekalkan identiti perkampungan nelayan dengan kewujudan jeti nelayan serta kehidupan komuniti kampung pesisir pantai seperti kebiasaannya.
Namun Pantai Impian kini bukan sekadar pantai yang landai dan tenang. Wajahnya mula berubah apabila kawasan di antara jajaran batu pemecah ombak (breakwater) di Kuala Kemasin dibangunkan secara berperingkat. Hasilnya, Kemasin Beach Resort (KBR) yang dibangunkan oleh sebuah syarikat anak tempatan kini mula menjadi sebutan dan muncul sebagai destinasi wajib hujung minggu, bukan sahaja bagi penduduk tempatan malah pengunjung dari luar daerah.
Pembinaan yang bermula pada pertengahan tahun 2024 itu dirancang dengan teliti mengikut fasa pembangunan tertentu. Jika suatu ketika dahulu kawasan ini hanya dipenuhi semak samun dan pepohon rhu liar, kini KBR telah dilengkapi dengan restoran, kios-kios makanan, taman permainan, hall serta landskap indah yang sesuai untuk aktiviti riadah dan santai seisi keluarga.
Lebih menarik, destinasi ini menjadi pilihan pelbagai lapisan masyarakat kerana kemudahannya yang lengkap termasuk surau, kawasan parkir percuma yang luas, harga berpatutan dan pelbagai pilihan makanan sekali gus menarik pengunjung yang hadir. Selepas hampir dua tahun pembangunan dijalankan, KBR dijangka melangkah ke fasa seterusnya apabila sebuah resort penginapan serta dewan bakal dibuka pada tahun 2026. Resort ini dikatakan memiliki konsep dan tarikan setanding resort pelancongan bertaraf antarabangsa.
Pembangunan yang pesat ini bukan sahaja mengubah landskap Pantai Impian, malah memberi impak positif kepada pertumbuhan sosial dan ekonomi masyarakat setempat. Pelancong luar dan tempatan juga berpeluang menjelajah persekitaran kampung yang unik, termasuk jeti, perkampungan nelayan, masjid, tokong Buddha serta pelbagai elemen budaya dan keharmonian komuniti.
Kawasan yang dulu sepi kini aktif secara terkawal pada siang dan malamnya dan perkembangan ini selari dengan slogan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Bachok sebagai “Bandar Pelancongan Islam”. Tidak ramai yang mengetahui bahawa Pantai Impian atau Pantai Kemasin sebelum ini juga pernah menganjurkan beberapa siri Kemasin Beach Surf Competitive. Selain itu, KBR juga giat menganjurkan program-program kebudayaan.
Bagi tahun 2026, KBR dijangka menyusun kalender aktiviti tahunan yang lebih meriah termasuk pertandingan Rebana Ubi, Sukaneka Rakyat, pertandingan Lagu Loghat, persembahan Wayang Kulit serta pelbagai lagi aktiviti tradisional yang mencerminkan identiti budaya tempatan. Pantai Impian kini membuktikan bahawa sebuah kampung nelayan mampu berkembang menjadi destinasi pelancongan berdaya saing, tanpa menghilangkan nilai budaya dan jati diri masyarakat setempat.