19/11/2025
SUMPAH NUSANTARA
OLEH : Arif Penawar Vitiligo
BAB 17 - SALIB HITAM DARI BARAT
Angin laut berhembus kencang di pelabuhan Melaka. Ombak menghentam dinding batu benteng A Famosa, mengaum seperti binatang lapar.
Di dalam dewan besar Kota Melaka, Gabenor Diogo de Sequeira berdiri tegak di hadapan sekumpulan pegawai dan tentera elit Portugis.
Wajahnya masam, matanya tajam menatap peta yang terbentang di hadapan.
“Berita dari utara jelas,” katanya perlahan, namun nadanya penuh bisa.
“Panglima Alam dan Laksamana Deraman kini bersatu. Mereka membawa ribuan pejuang dan mereka menuju ke sini.”
Seorang pegawai muda menjawab, “Tuan, kubu di utara masih kukuh. Setakat ini tiada lagi orang Melayu mampu menembusi tembok batu kita.”
Gabenor menghentak tongkatnya ke lantai batu.
“Bodoh! Mereka bukan datang untuk menembusi kota. Mereka datang untuk membakar semangat saki baki rakyat Melaka yang tinggal!
Jika lebih ramai orang Melayu bangkit, seluruh Tanah Melayu akan jadi bara!”
Beliau berpaling ke arah seorang lelaki berkulit sawo matang yang berdiri di sisi. Lelaki itu bukan bangsa Portugis. Tetapi berpakaian seragam khas dengan lambang salib hitam di dada.
Itulah Kapten Rodrigo Vasques, ketua pas**an khas Ordem de Espada Negra. Unit elit Portugis yang terkenal dengan kekejaman mereka di laut dan darat yang sudah beberapa kali mengkucar-kacirkan tentera Islam di Eropah.
“Rodrigo,” ujar Gabenor perlahan. “Aku serahkan tugas ini padamu.
Bawa tenteramu, dan padamkan api pemberontakan sebelum tiba di Melaka.
Aku mahu kepala Panglima Alam tergantung di pintu gerbang Melaka sebelum bulan purnama.”
Rodrigo tersenyum nipis, menunduk sedikit. “Dengan izin Tuhan dan api mesiu kami, itu akan berlaku, tuan.”
Beberapa hari kemudian, tentera khas Portugis itu bergerak dari Melaka.
Mereka bukan pas**an biasa, semuanya bersenjata lengkap dengan arkebus (senapang sumbu), pedang rapier, dan perisai logam.
Di belakang mereka, ratusan askar upahan tempatan turut dibawa. Orang Jawa, Bugis, dan pembelot Melayu yang berkhidmat di bawah Portugis.
Mereka menempuh hutan tebal, menyusuri sungai dan paya, bergerak secara senyap ke arah sempadan Perak.
Rodrigo Vasques menunggang kuda hitamnya di hadapan barisan, matanya tajam menembusi kabus.
“Kita akan serang mereka di pertengahan jalan,” katanya kepada pegawainya.
“Biarkan mereka fikir tanah ini masih milik mereka hingga peluru pertama menembusi dada mereka.”
AMARAN PERANG
Sementara itu, di pihak Panglima Alam, pengintip bernama Tok Seri Pandak kembali dari selatan dengan wajah cemas.
Beliau terus menghadap Alam dan Deraman di khemah utama di tebing Sungai Langat.
“Panglima... Kedudukan dan pergerakan kita telah dikesan. Orang Portugis sedang mara dari sempadan Melaka.
Mereka bukan pas**an biasa. Mereka lengkap bersenjata api. Mereka bawa orang tempatan sebagai penunjuk jalan.”
Deraman menggenggam hulu kerisnya, mukanya merah menahan marah.
“Anjing penjajah! Mereka fikir boleh menembusi hutan ini dengan senjata asing mereka?”
Panglima Alam tidak segera menjawab. Beliau berdiri, memandang ke arah timur di mana kabut mula tebal.
“Rodrigo Vasques…” katanya perlahan. “Aku pernah dengar namanya. Kejam, tapi bijak.”
Beliau menoleh kepada Deraman.
“Kita tidak boleh mara dan berpecah lagi buat masa ini. Pasang jebak dan bina kubu di tebing sungai.
Jika Portugis mahu datang, biar mereka masuk ke perangkap yang kita cipta.”
KETIBAAN MUSUH
Menjelang malam, hujan rintik-rintik mula turun. Suasana sunyi, hanya bunyi air menitis dari daun.
Tiba-tiba, dari jauh, kelihatan cahaya-cahaya kecil dari obor bergerak perlahan di antara pokok.
Rodrigo Vasques menunduk di atas kudanya, memberi isyarat sedia.
“Dekatkan formasi. Siapkan arkebus. Kita akan nyalakan neraka untuk mereka.”
Di seberang sungai, Panglima Alam dan Laksamana Deraman memandang ke arah cahaya itu.
Api obor memantul di mata mereka, tanda musuh sudah semakin hampir.
“Malam ini,” bisik Alam, “api Melayu akan berbalik membakar tangan yang menyalakannya!”
Dan di celah hujan dan kabus, dua kekuatan, Melayu dan Portugis mula menghampiri garis takdir yang sama.
Pertempuran besar pertama antara mereka akan bermula sebelum fajar.
BERSAMBUNG...
(Lihat Di Comment)