23/05/2026
Betull.. Bukak minda
Seni Bukan Buang Masa
Masih ramai masyarakat yang memandang rendah terhadap bidang seni. Ada yang mengatakan belajar seni hanyalah membuang masa dan tidak mempunyai masa depan. Namun pada pendapat saya, tanggapan itu tidak sepenuhnya benar. Bidang seni sebenarnya mempunyai nilai, ilmu dan peluang kerjaya yang luas jika seseorang itu benar-benar serius dan berusaha dalam bidang tersebut.
Ramai yang selalu bertanya kepada saya, “Belajar seni ni boleh jadi kerja ke?” atau “Ada masa depan ke?” Secara jujurnya, memang tidak mudah untuk berjaya dalam bidang seni kerana industri ini sangat mencabar dan peluang di Malaysia masih agak terhad. Tetapi itu tidak bermaksud mereka yang berada dalam bidang seni tidak bagus atau tidak mampu berjaya. Setiap bidang mempunyai cabaran tersendiri dan seni juga memerlukan disiplin, latihan serta kesungguhan yang tinggi.
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) merupakan salah satu institusi yang banyak melahirkan graduan berkualiti dalam bidang seni seperti tari, muzik, teater, filem, animasi dan seni halus. Ilmu yang diberikan di ASWARA sangat membantu para pelajar untuk memahami industri sebenar dan membentuk mereka menjadi penggiat seni yang profesional.
Sebenarnya, terdapat banyak peluang pekerjaan dalam bidang seni. Antaranya ialah menjadi penari profesional, koreografer, pelakon, penyanyi, guru seni, pengarah artistik, pengurus acara, animator, pencipta kandungan digital, editor video dan pelbagai lagi pekerjaan dalam industri kreatif. Dengan perkembangan media sosial dan dunia digital hari ini, bidang seni semakin berkembang dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda.
Kesimpulannya, bidang seni bukanlah satu bidang yang sia-sia. Jika seseorang mempunyai minat dan bakat, mereka perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi diri. Seni bukan sahaja mengajar tentang persembahan, malah membentuk keyakinan diri, disiplin, kreativiti dan keberanian seseorang individu. Oleh itu, jika ada anak-anak yang berminat dalam bidang seni, jangan takut untuk memberi mereka peluang mencuba kerana mungkin di situlah masa depan mereka bermula.