06/03/2022
Hari ini 110 tahun yang lalu, termeterainya Perjanjian Persempadanan Perak-Kedah.
Ia ditandatangani oleh Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azzam Shah (Sultan Idris I) dengan Sultan Kedah ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah disaksikan oleh Pemangku Residen British di Perak, Oliver Marks.
Lokasi persempadanan terbabit adalah kawasan di daerah Baling dengan kawasan Tasek yang terletak di Hulu Perak, selain daripada berkait dengan pembinaan sebatang jalan raya dari Baling hingga ke Padang Serai di Kedah. Antara butiran kandungan perjanjian:
1. Sultan Perak bersetuju untuk membina sebatang jalan raya kelas satu dari Baling hingga ke Kuala Ketil sepanjang 22 batu. Jalan ini akan menghubungkan kawasan Klian Intan di Hulu Perak dengan daerah Baling hingga ke kawasan Kuala Ketil.
2. Pembinaannya akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Perak & sebagai balasan, kerajaan Kedah setuju akan mengawasi & menjaga jalan tersebut selepas ianya diserahkan kepada kerajaan Kedah sepertimana jalan-jalan kelas satu lain yang ada di negeri itu.
3. Kerajaan Kedah juga setuju untuk menyambung pembinaan jalan tersebut dari Kuala Ketil ke Padang Serai sepanjang 12 batu & kerajaan Kedah juga akan menjaga & mengawasi jalan tersebut sepertimana jalan-jalan kelas satu lain yang ada di negeri itu.
4. Kerajaan Kedah akan menyerahkan kepada Kerajaan Perak semua kawasan di Baling & kawasan Gua Baling kepada Kerajaan Perak supaya sempadan antara kedua-dua negeri itu ditandakan dengan kawasan bukit dalam daerah Hulu Perak.
*Gambar - Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azzam Shah/Sultan Idris I (kiri) & Sultan Kedah ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah (kanan)
Sumber: Arkib Negara Malaysia