01/04/2025
Coretan Syawal;
Dusta yang paling keji adalah bila mereka membela kezaliman, menutup mata pada kehinaan, lalu menyalahkan kita kerana bangkit melawan. Licik sungguh helah mereka; membiarkan cercaan bertebaran, membisu saat hinaan dilemparkan, tetapi menuding jari saat kita mempertahankan maruah. Mereka membenarkan nista pada darah daging sendiri, bahkan pada ibu yang melahirkan, seolah-olah hati mereka telah lama mati, seolah-olah harga diri tiada lagi erti.
Andai benar mereka berhati suci, mengapa diam saat kehormatan diinjak? Andai benar mereka berpegang pada adab, mengapa membiarkan doa-doa hitam menimpa ahli keluarga sendiri? Sungguh, yang lebih buruk dari lidah yang mencerca adalah mereka yang diam membisu, membiarkan kezaliman bermaharajalela, lalu menuduh kita keterlaluan kerana tidak rela dipijak. Mereka menyangka kesabaran itu kelemahan, mereka lupa bahawa diam bukan bererti takut.
Maka, tidak perlu menjelaskan diri kepada mereka yang hatinya sudah lama digelapkan. Biarkan mereka hanyut dalam lautan dusta sendiri, kerana kita tidak lagi sudi menjadi watak dalam kisah kehinaan mereka. Pilihlah untuk melangkah dengan maruah yang masih teguh, kerana selagi bernafas, selagi keluarga berdiri, tiada satu pun kata-kata mereka akan meruntuhkan.
Assalammualaikum dan Selamat Pagi Dunia yang Penuh Dusta.