18/08/2026
Menjunjung Jasa, Menyemai Silaturahim: PERPATI Santuni Bursar UUM
SINTOK, 11 Ogos 2026 – Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Tadbir dan Ikhtisas) (PERPATI) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Bursar UUM, Encik Mohtar Hasim, pada 11 Ogos 2026 bersempena dengan persaraan beliau yang akan menamatkan perkhidmatan pada 13 Ogos 2026.
Kunjungan tersebut turut diserikan dengan sesi santai bersama Encik Mohtar, Presiden serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif PERPATI. Sesi berkenaan menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim di samping mendapatkan pandangan, cadangan dan harapan daripada beliau sebagai ahli lama PERPATI yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan serta perjalanan persatuan.
Dalam sesi perkongsian tersebut, Encik Mohtar turut memberikan beberapa pandangan dan nasihat yang boleh dijadikan panduan oleh kepimpinan PERPATI, khususnya dalam memperkukuh pengurusan serta memastikan kelangsungan persatuan pada masa akan datang.
Antara perkara yang diketengahkan ialah usaha penjanaan kewangan persatuan bagi memastikan PERPATI mempunyai sumber kewangan yang lebih mampan dalam melaksanakan aktiviti, program serta kebajikan ahli. Beliau turut menyarankan agar program-program berbentuk silaturahim dan kebersamaan ahli PERPATI terus diperkasa sebagai medium untuk mengeratkan hubungan, membina semangat kekitaan serta meningkatkan penglibatan ahli.
Perkongsian tersebut turut menyentuh kepentingan PERPATI untuk terus memainkan peranan sebagai platform yang menghimpunkan Pegawai Pengurusan dan Profesional UUM, selain memastikan aktiviti yang dilaksanakan memberi manfaat kepada ahli serta menyokong usaha memperkukuh jaringan profesional dalam kalangan warga universiti.
Pandangan, pengalaman dan nasihat yang dikongsikan oleh Encik Mohtar menjadi satu bentuk perkongsian ilmu dan legasi yang amat bermakna kepada kepimpinan PERPATI. Input tersebut diharap dapat dijadikan asas dalam merancang strategi serta memperkukuh hala tuju persatuan agar terus relevan dan memberikan nilai tambah kepada ahli.
Dalam kesempatan tersebut, Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif PERPATI turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Encik Mohtar Hasim atas segala jasa, komitmen, sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada UUM serta PERPATI sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
PERPATI turut menzahirkan penghargaan atas kesudian Encik Mohtar meluangkan masa untuk berkongsi pengalaman dan pandangan, khususnya dalam usaha memperkukuh pengurusan serta kelangsungan persatuan pada masa hadapan.
Seluruh warga PERPATI mengucapkan selamat bersara kepada Encik Mohtar Hasim. Semoga fasa baharu kehidupan yang ditempuhi selepas ini dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan, kebahagiaan serta masa yang lebih bermakna bersama keluarga dan insan tersayang.
Terima kasih atas segala jasa, sumbangan dan kenangan. Selamat bersara dan selamat melangkah ke lembaran kehidupan yang baharu.